Pertama

Aku bukanlah penulis yang mempunyai akal yang hebat dengan kata-kata atau perkataan. Ketika kecil aku suka membeli buku nota-nota kecil yang kononnya untuk memudahkan aku menulis. Begitu juga diari, tapi semuanya dipenuhi dengan lakaran-lakaran super hero ataupun motor honda 50cc milik bapaku. Halaman-halaman kosong gagal membentuk aku sebagai penulis.

Aku seringkali tepu tentang apa yang ingin ditulis. Kerja penulisan aku yang pertama adalah menulis nombor-nombor penting di dinding-dinding rumah ibu saudaraku. Kakak kepada bapa ku. Dibayar upah sebanyak 10 sen lantas dihabiskan membeli kuaci tikam. Untung-untung dapat kad yang berchop 20 sen atau lebih. Setiap hasil penulisan pasti diberi upah. Dan aku bebas menulis apa sahaja di dinding tersebut. Aku dilahirkan dikalangan ibu-ibu yang tidak dapat membaca dan menulis. Ibu saudaraku dijodohkan dengan lelaki yang juga tidak lancar penulisan dan pembacaannya. Alasan bapa saudara aku dia lancar membaca jawi dan tak sempat belajar membaca rumi disebabkan Jepun menyerang Malaya. Tapi ibu saudaraku menyangkal kata suaminya. Memang tak pandai membaca. "Orang betine takade dapat belajo macam budak jantan" kata ibu saudaraku dengan loghat perak yang sangat pekat. Katanya ketika zaman mudanya anak perempuan tidak mendapat tempat yang sama seperti lelaki untuk ke sekolah. Kamu beruntung menjadi anak lelaki katanya lagi. Maka aku adalah penulis dan pembaca untuk ibu saudaraku. Upah sekitar 10 sen ke 20 sen cukup hebat waktu itu untuk aku.

Tulisan aku penuh di dinding-dinding rumah ibu saudaraku. Segala macam peristiwa penting perlu dicatatkan, juga nombor telefon anak-anak yang menetap di kota. Setiap kelahiran dan kematian akan dicatitkan waktu dah tarikhnya di dinding-dinding untuk mudah diingati. Ruang dinding itu adalah ruang pameran yang dibanggakan oleh ibu saudaraku setiap kali berbicara dengan rakan-rakannya dan pastinya ibu aku jua bangga mendengarnya. Aku perlu bersedia bila khidmat aku diperlukan. Pernah satu ketika ibu saudara aku perlu menelefon anaknya ketika lewat malam. Anak kecil yang ketika itu tidak mempunyai hiburan malam, tidur mati sampai perlu disimbah air. Nasib baik kakak aku ada membacakan nombor anaknya yang berada di Kuala lumpur.

"Jenoh aku saha, kamu tulis nombor je, namenye tak ade" kesian ibu saudara aku, aku tulis nombor anaknya ikut turutan, yang tua diatas diikuti kedua dibawahnya dan kakakku pula gagal memahami nombor-nombor yang aku tulis. Sudahlah begitu, segala nombor ada di situ dari nombor cina ambik getah sekerap sampai lah ke nombor sifir matematik yang aku pelajari di sekolah siang hari. Perkhidmatan aku tidak ditamatkan serta merta, malahan aku diberi peluang untuk mengemas kini dan memperbaiki lagi ruangan dinding tersebut. Ibu saudaraku boleh saja menamatkan perkhidmatan aku dan menyerahkan tugasan dan tanggunjawab tersebut ke kakak ku yang jauh lagi jelas dan menarik tulisannya.

Itulah pengalaman pertama aku menulis dan kini aku rasa aku perlu menulis. Menulis bukan untuk Ibu saudaraku tetapi untuk aku dan generasi akan datang. Dan pastinya aku akan melakukan kesilapan dan aku pasti akan diberi peluang membaiki catitan aku sebagaimana ibu saudara ku yang memberi kapur, kain buruk dan sebaldi air untuk aku terus menulis di dinding-dinding rumahnya.

Comments